Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohammad Hasif Matzin
KIARONG, Sabtu, 11 Julai. - Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun 2026 akan bermula dengan Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib, Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah Dan Membaca Doa Kesyukuran yang akan diadakan pada hari Selasa, 14 Julai 2026 bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Bagi memastikan kelancaran majlis, Jawatankuasa Kerja Acara Keugamaan membuat tinjauan persediaan bagi acara tersebut di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, pada petang tadi.
Hadir semasa tinjauan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia, dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun 2026; dan Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.
Selain tumpuan utama di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, tumpuan bagi acara keugamaan ini juga akan diadakan di masjid-masjid seluruh negara iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara, masjid-masjid tumpuan ialah Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara; dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan.
Sementara itu, di Daerah Belait, masjid tumpuan ialah Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; dan Masjid Pekan Seria. Manakala bagi Daerah Tutong, masjid tumpuan ialah di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; dan di Daerah Temburong, masjid tumpuan ialah Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat diraja akan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala, dilanjutkan usia, sihat walafiat, dan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia kekal karar memerintah di atas Takhta Singgahsana Kerajaan dan memimpin Negara Brunei Darussalam.